ARTIKEL

PRN-15: DEKLARASI G70 PROFESOR MELAYU

DEKLARASI G70 PROFESOR MELAYU

SERUAN KEPADA RAKYAT NEGERI PULAU PINANG, SELANGOR, NEGERI SEMBILAN, KEDAH, TERENGGANU DAN KELANTAN BERSEMPENA PRUN KE-15


MENYEDARI bahawa;

1. Pilihanraya Umum Negeri ke-15 (PRUN-15) bagi enam negeri, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan, merupakan satu kaedah undang-undang negeri dalam sistem demokrasi yang mesti dimanfaatkan oleh seluruh rakyat negeri-negeri berkenaan demi memastikan masing-masing negeri memiliki sebuah kerajaan yang teguh, beramanah dan bertanggungjawab terhadap masa depan rakyat; 

2. PRUN-15 merupakan peluang terbaik rakyat negeri-negeri berkenaan mengangkat kerajaan yang berwibawa dan dihormati di peringkat nasional dan antarabangsa; 

3. PRUN-15 adalah ruang bagi rakyat negeri berkenaan menyertai secara aktif dalam memilih sebuah kerajaan yang mampu membina sebuah sistem urustadbir dan tatakelola kerajaan yang cekap, telus, bebas rasuah dan salah guna kuasa; 

4. Malaysia sedang berdepan dengan pelbagai isu rumit dan kepincangan masyarakat luar biasa yang belum pernah dihadapinya sebelum ini yang boleh memporakperandakan negara;


DEKLARASI

Maka, kami yang terdiri dari ilmuwan PROFESOR MELAYU dan setulusnya merasa bertanggungjawab terhadap keadaan masyarakat dan negara pada masa kini dengan ini MENYERU seluruh rakyat negeri-negeri berkenaan tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan, kepada perkara-perkara berikut: 

1. Rakyat negeri-negeri berkenaan mesti menggunakan hak dan tanggungjawab memilih pada PRUN15 akan datang dengan mengundi pakatan politik yang mendukung perpaduan nasional dan keadilan masyarakat dengan mengundi calon-calon yang memiliki prinsip integriti, amanah serta bebas dari amalan rasuah dan salah guna kuasa. 

2. Rakyat negeri-negeri berkenaan mesti memilih calon-calon dari pakatan politik yang memiliki iltizam bagi membina sebuah kerajaan yang berteraskan prinsip tatakelola yang baik serta bertekad memerangi sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa terhadap kepentingan rakyat serta negara. 

3. Rakyat negeri-negeri berkenaan diseru agar mendukung calon-calon dari pakatan politik yang bertekad mengembalikan maruah negara, membina semula keyakinan pelabur, mengukuhkan kedudukan mata wang, membaik pulih ekonomi dan seterusnya membina semula penTaghormatan dunia terhadap negara.  

4. Rakyat negeri-negeri berkenaan diseru agar menolak calon-calon dari pakatan politik yang didapati telah mengkhianati amanah demokrasi dan menyalahgunakan kedudukan politik sebagai medan memenuhi kepentingan diri dan kumpulan. 

5. Rakyat negeri-negeri berkenaan diseru agar menolak calon-calon yang menggunakan fitnah bagi meraih sokongan pengundi dan mengeksploitasi sentimen agama serta kaum dengan melaga-lagakan rakyat berbilang bangsa dan budaya demi meraih keuntungan politik kepartian masing-masing.

6. Setelah membuat pertimbangan sewajarnya terhadap pakatan politik yang bertanding kami berpendirian bahawa Pakatan Politik yang mendokong Kerajaan Perpaduan YDPA yang diketuai DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM kekal seperti yang dititahkan oleh Baginda Tuanku;

adalah satu-satunya pakatan politik yang berwibawa, berpengalaman serta berintegriti yang mampu memimpin masyarakat majmuk dengan berteraskan Islam sebagai agama persekutuan, serta memulihkan reputasi negara di mata dunia, dan;

PAKATAN politik kerajaan perpaduan pada PRUN-15 ini, merupakan satu-satunya pilihan terbaik untuk membawa negara keluar daripada kemelut ekonomi kini kepada kesejahteraan rakyat di masa hadapan, dan dalam masa yang sama menjamin keutuhan agama Islam serta kepentingan Melayu dan peribumi. Sekian.


Tarikh: 9 Ogos 2023


PROF. DATO' IR. DR. WAN RAMLI WAN DAUD

Pengerusi

Pertubuhan Profesor G70

Admin

Admin