ARTIKEL

SCRIPT / MADANI: KERANGKA DASAR MADANI

oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia


Kerangka Dasar Madani
Agenda dasar kita tidak hanya memberikan tumpuan kepada menyelesaikan masalah dan memenuhi keperluan semasa di negara kita, tetapi juga pada mencorak masa hadapan dan memenuhi potensinya. Ia mengambil kira segala bentuk perubahan yang telah merubah dunia; ia bercita-cita untuk mengemudi negara dalam zaman pasca normal yang serba rumit, bercanggah dan berkecamuk. Bahasa, konsep dan budaya tempatan Malaysia merupakan teras kepada kerangka ini. Penekanan diberikan terhadap sintesis, yakni menggabungkan amalan sedia ada dengan kaedah baharu yang direka untuk menangani isu-isu baharu dan ketidakpastian. Enam rukun utama MADANI – kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, dan ihsan – merupakan cerakinan daripada perintah Allah SWT yang terkandung dalam al-Qur’an al-Majid serta cerminan daripada keperibadian dan ketokohan junjungan besar baginda Nabi Muhammad SAW. Ia merupakan kerangka dasar yang saling berkait dan bersepadu, setiap satunya menguatkan yang lain. Kerangka ini dibina dengan kesediaan menerima perubahan mengambil kira sumbang saran dan pendapat daripada semua lapisan masyarakat. Dengan kerangka ini, semoga kita mampu segera memulihkan negara kita melalui Reformasi yang substantif, sekaligus melangkah bersama rakyat menuju masa hadapan yang lebih cerah, Insha Allah.

"Kita haruslah sentiasa beringat bahawa perlembagaan bertulis hanyalah semata-mata lembaran kertas. Yang lebih penting adalah harus ada dalam sanubari dan akal fikiran mereka yang diamanahkan untuk mentadbir dan memelihara Perlembagaan, suatu kepercayaan pada nilai dan prinsip yang menghidupkan dokumen luhur itu."
- DYMM Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah Ghafarullahulah, Jubli Emas Keperlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang 

Untuk setiap rukun akan digariskan: 

Takrifan Kebiasaan 
Kefahaman biasa terhadap istilah tersebut. 

Takrifan Kami 
Apa yang kami maksudkan dengan istilah tersebut dan bagaimana ia ditakrifkan dalam konteks negara kita. 

Visi 
Visi khusus yang dibentuk untuk istilah tersebut. 

Masyarakat atau Kawasan 
Sasaran Kepada siapa atau di mana sesuatu dasar itu disasarkan? 

Mencorak Dasar 
Antara elemen penting dalam pembuatan dasar untuk setiap rukun yang akan diteroka: 
• Ekonomi dan Kewangan 
• Perundangan 
• Institusi 
• Pendidikan 
• Kemasyarakatan 
• Kebudayaan 
• Bandar 
• Luar bandar 

Dalam membina kerangka besar ini kita harus memikirkan sejenak beberapa perkara. Pertamanya, kesalingkaitan antara keenam-enam rukun MADANI harus sentiasa diperkukuh. Dalam erti kata lain, bagaimana setiap rukun mampu berhubung dan menyumbang kepada rukun yang lima. Pada masa yang sama, setiap rukun harus mengambil kira sejarah semasa negara. Misalannya, apakah struktur, sistem dan idea sedia ada yang boleh ditambah baik, atau yang harus disingkirkan. 

Kita juga harus memikirkan mengenai berbagai potensi yang wujud. Apabila sesuatu tindakan diambil, kita tidak hanya harus memikirkan bagaimana sesuatu dasar itu boleh dibikin, tetapi juga kesannya, yang baik dan yang buruk. 

Keduanya, sisi pasca normal turut menjadi pertimbangan dalam pembentukan dasar ini. Dalam dunia pasca normal, dasar-dasar MADANI harus bersedia untuk menghadapi kelajuan, skala, skop dan keserentakan; percanggahan yang begitu banyak; kerumitan yang kian bertambah; serta kemampuan untuk menghadapi kekacauan. Kesemua ini akan perlu menjawab beberapa persoalan penting yang dibangkitkan. 

Kerumitan 
Persoalan yang perlu dijawab adalah apakah kita memiliki mekanisme untuk menghadapi kerumitan yang muncul, bagaimana kerumitan dapat dikurangkan, bagaimana penyelesaian yang ringkas dapat membantu kita menguruskan keadaan yang rumit, dan bagaimana untuk menyedari bahawa dalam dunia global yang serba terkait ini, sentiasa wujud risiko sistemik dalam dan luar negara yang mampu memberi dampak besar kepada negara kita.? 

"Kerumitan itu wujud antara keteraturan dan kerawakan. Kerumitan juga sukar dijelaskan, diubah, dicipta atau diramal." 
- Scott E Page, Diversity and Complexity, halaman 32

Percanggahan 
Misalannya, apakah potensi percanggahan yang akan wujud dalam dasar kita, dan daripada manakah datangnya halangan yang menghasilkan percanggahan kepada dasar itu, apakah ianya institusi, birokrasi, kumpulan berkepentingan, parti-parti pembangkang, demonstrasi, gerakan radikal, atau perhimpunan jalanan. 

Percanggahan juga hadir dalam bentuk risiko, justeru harus difikirkan apakah jenis risiko yang boleh dijangkakan, serta bagaimana untuk menyingkirkan segala halangan. 

Kekacauan 
Adakah kita terlepas pandang sebuah peristiwa yang berpotensi mewujudkan kekacauan pada masa akan datang, apakah elemen kemasyarakatan dan kebudayaan yang mampu mengakibatkan kekacauan, apakah kita mampu mengesan dan memantau pergerakan yang menuju kepada kekacauan, adakah kekacauan itu sendiri boleh ditanggapi, dan apakah persediaan kita. 

Juga harus diingat bagaimana untuk memastikan rakyat Malaysia sentiasa dimaklumi akan perkembangan semasa dan terus kekal utuh pada saat-saat yang kacau.? 

Keserentakan 
Dasar yang rumit memerlukan pendekatan keserentakan, yakni bertindak secara serentak di sektor, institusi dan pertubuhan yang berbeda. Bagaimana untuk menjalinkan hubungan dan memastikan dasar serta matlamat – meski sebahagiannya tampak bercanggah – diterapkan secara serentak oleh semua pihak yang terlibat: institusi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan masyarakat dan sukrelawan serta NGO.Ketiganya, kita harus mengambil kira keadaan yang sentiasa berubah, kemungkinan-kemungkinan dan masa hadapan yang mungkin berlaku.

Masa Hadapan dan Perubahan 
Adakah semua dasar yang akan dibuat bersedia untuk menghadapi perubahan yang pantas, adakah perubahan yang sentiasa berlaku akan menjadikan dasar itu lewah, bagaimana kita seharusnya merubah dasar untuk beradaptasi dengan perubahan, apakah perbedaan antara dasar semasa dengan dasar yang akan kita gubal, apakah corak perkembangan isu semasa yang akan menuntut kita meneliti semula dasar-dasar, apakah bentuk senario yang berpotensi untuk berlaku dan bagaimana ia mampu membantu kita melakar masa hadapan yang kita inginkan?. Akhir sekali, kita akan melihat bagaimana dasar-dasar ini boleh dipantau, dan sama ada perlunya perkara baharu diusulkan untuk memastikan rakyat meraih manfaat daripada dasar MADANI ini. 

Pemantauan 
Untuk memastikan dasar-dasar yang telah digubal dapat membuahkan hasil, justeru diperlukan pemeriksaan dan pemantauan. Maka perlu dijawab persoalan adakah kita memerlukan suatu mekanisme untuk mendapatkan maklum balas, bagaimana dapat kita pastikan kesemua dasar itu saling berhubung di setiap peringkat dan memastikan segala isu yang melibatkan percanggahan, kerumitan dan keserentakan dapat ditangani dengan baik, dan adakah kita mampu untuk memantau dan menghalang kekacauan daripada berlaku. 

Institusi Pemberdayaan 
Kunci utama membangun dasar dalam sebuah sistem ekonomi yang rumit adalah dengan adanya suatu penglibatan aktif untuk memperbaharui institusi-institusi penting yang mampu berdepan dengan kerumitan, kekacauan dan mengatasi percanggahan. Apakah jenis institusi baharu dan berdaya cipta yang diperlukan agar dapat diberi kepercayaan membimbing dan memantau perjalanan dasar dari awal hingga akhir, termasuklah dalam memastikan jentera dan birokrasi kerajaan melaksanakan tugasnya, mewar-warkan dasar kepada rakyat, serta merubahnya mengikut keperluan semasa. 

Terkait dengan pelbagai masalah dan pembaziran yang berlaku akibat kabinet gemuk, dasar ini secara amnya cenderung untuk mengurangkan bilangan menteri dan tidak menggalakkan pembentukan institusi baharu, terutamanya yang tidak berfungsi. Namun sekiranya diperlukan sebuah institusi yang dapat memainkan peranan untuk melaksanakan dasar ini dengan sebaiknya maka institusi kerajaan sedia ada akan diserap, diperkasa atau digarap sesuai dengan matlamat agar birokrasi kerajaan mampu menjana perubahan yang diperlukan oleh rakyat. 

Kerangka MADANI bukanlah sesuatu yang mudah dan bersifat sehala. Rajah di halaman berikutnya cuba untuk memaparkan kepelbagaian sisi kerangka MADANI dan bagaimana ia berkait dengan masa hadapan serta isu-isu pasca normal. Adakah semua dasar yang akan dibuat bersedia untuk menghadapi perubahan yang pantas, adakah perubahan yang sentiasa berlaku akan menjadikan dasar itu lewah, bagaimana kita seharusnya merubah dasar untuk beradaptasi dengan perubahan, apakah perbedaan antara dasar semasa dengan dasar yang akan kita gubal, apakah corak perkembangan isu semasa yang akan menuntut kita meneliti semula dasar-dasar, apakah bentuk senario yang berpotensi untuk berlaku dan bagaimana ia mampu membantu kita melakar masa hadapan yang kita inginkan? 

Akhir sekali, kita akan melihat bagaimana dasar-dasar ini boleh dipantau, dan sama ada perlunya perkara baharu diusulkan untuk memastikan rakyat meraih manfaat daripada dasar MADANI ini. 

Institusi Pemberdayaan 
Kunci utama membangun dasar dalam sebuah sistem ekonomi yang rumit adalah dengan adanya suatu penglibatan aktif untuk memperbaharui institusi-institusi penting yang mampu berdepan dengan kerumitan, kekacauan dan mengatasi percanggahan. 

Apakah jenis institusi baharu dan berdaya cipta yang diperlukan agar dapat diberi kepercayaan membimbing dan memantau perjalanan dasar dari awal hingga akhir, termasuklah dalam memastikan jentera dan birokrasi kerajaan melaksanakan tugasnya, mewar-warkan dasar kepada rakyat, serta merubahnya mengikut keperluan semasa. 

Terkait dengan pelbagai masalah dan pembaziran yang berlaku akibat kabinet gemuk, dasar ini secara amnya cenderung untuk mengurangkan bilangan menteri dan tidak menggalakkan pembentukan institusi baharu, terutamanya yang tidak berfungsi. Namun sekiranya diperlukan sebuah institusi yang dapat memainkan peranan untuk melaksanakan dasar ini dengan sebaiknya maka institusi kerajaan sedia ada akan diserap, diperkasa atau digarap sesuai dengan matlamat agar birokrasi kerajaan mampu menjana perubahan yang diperlukan oleh rakyat.

* Petikan bab Kerangka Madani daripada buku Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi.

Admin